Tuesday, March 14, 2006

Mahasiswa Kini Pasca Reformasi 1998: Suatu Analisa Kasar

Tulisan saya ini adalah bertujuan untuk menyediakan garis panduan kasar terhadap perbincangan tentang analisa mahasiswa kini. Memandangkan ianya hanya analisa kasar, makanya suatu perbincangan yang lebih mendalam adalah perlu supaya analisa yang dibuat adalah lebih halus dan tuntas. Bersesuaian dengan sifatnya yang kasar dan umum, makanya tulisan ini bukanlah merupakan suatu tulisan yang didasari oleh fakta-fakta ilmiah santifik dengan kajian dan data-data yang impirikal. Ia hanya merupakan suatu pemerhatian kasar terhadap lanskap aktivisme politik anak-anak muda khususnya aktivisme politik kampus. Sebelum kita melakukan analisa, eloklah kiranya kita menoleh sebentar ke belakang untuk meninjau secara ringkas perkara-perkara yang melatari analisa terhadap mahasiswa paska-reformasi ini.

Reformasi merupakan suatu kebangkitan rakyat yang meletus secara spontan dan tidak tersusun, samada secara organisasinya, strateginya ataupun inti intelektualnya. Ianya meletus hasil daripada ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Walaupun terdapat sisi-sisi yang serba kekurangan di dalam gerakan reformasi ini, namun yang jelas ianya telah meradikalisasikan sebahagian besar anak-anak muda dan mahasiswa yang ada pada waktu itu. Kesannya dapat kita rasakan hingga sekarang apabila gerakan reformasi sering dijadikan batu tanda atau sumber rujukan kepada gerakan-gerakan mahasiswa dan anak muda sekarang ini.

Namun begitu bukan sahaja mahasiswa dan anak muda yang terasa kesannya tetapi juga pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) turut merasa terpanggang oleh bahang panasnya api reformasi ini. Sokongan dan dukungan mahasiswa serta anak-anak muda terhadap BN semakin merosot dan berkurangan. Justeru itu, sokongan dari mahasiswa serta anak-anak muda ini harus diraih dan direbut kembali. Dan untuk menawan kembali sokongan dan dukungan anak-anak muda ini pelbagai tindakan yang strategik harus dilaksanakan dengan menjurus kepada penyusunan semula kelompok-kelompok anak muda dan mahasiswa di seluruh Malaysia ini. Dengan kuasa, modal dan jentera yang ada kerajaan Barisan Nasional telah melancarkan gerakan yang sistemetik untuk menawan kembali kelompok mahasiswa dan anak muda ini.

Antara tindakan yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional ialah menafikan hak mengundi 680,000 orang-orang muda di dalam pilihanraya 1999, menubuhkan puteri dan putera UMNO, membangunkan skim-skim keusahawanan muda (untuk putera dan puteri UMNO khususnya), membentuk organisasi-organisasi kelas professional muda dan kelas menengah melayu muda, melaksanakan program latihan khidmat negara, menstrukturkan semula program-program Biro Tatanegara (BTN), melantik TNC-TNC yang akan bermati-matian mengukuhkan kekuatan BN di setiap universiti, melaksanakan akujanji, mewajibkan pengundian untuk setiap mahasiswa kampus, melakukan ugutan, menjalankan pilihanraya kampus yang berat sebelah dan tidak demokratik dan pelbagai-bagai lagi tindakan-tindakan lainnya untuk memastikan dominasi total terhadap kelompok-kelompok anak muda terutamanya kelompok mahasiswa di kampus-kampus universiti.

Hasilnya pada pilihanraya umum 2004 yang lepas undi orang-orang muda untuk Barisan Nasional telah meningkat dan BN telah mencapai kejayaan cemerlang di hampir setiap kerusi yang dipertandingkan di seluruh negara dengan Terengganu berjaya dirampas kembali dari PAS dan Kelantan hampir-hampir tumbang. Begitu juga pada pilihanraya kampus 2005 tahun lepas, kelompok-kelompok mahasiswa pro-kerajaan Barisan Nasional telah menguasai semua kampus-kampus universiti di seluruh Malaysia.

Setelah puluhan tahun kelompok-kelompok mahasiswa yang dilabel “anti-establishment” (selepas ini disebut gerakan mahasiswa Islam) yang ditunjangi oleh Persatuan-persatuan Mahasiswa Islam (PMI) ini menguasai kepimpinan kampus di seluruh Malaysia, akhirnya pada tahun lepas mereka tumbang dan tersungkur, bukan di satu dua universiti, malahan di seluruh universiti yang ada di Malaysia ini! Di sini kita dapat melihat betapa mudahnya kelompok gerakan mahasiswa Islam ini ditundukkan iaitu dalam tempoh masa yang kurang dari 5 tahun selepas reformasi 1998. Fenomena perubahan politik di kalangan mahasiswa yang berlaku secara mendadak dengan jangkawaktu yang sangat singkat ini wajib dikaji dan dianalisa.

Untuk memahami perubahan politik yang berlaku itu, eloklah kiranya kita membuat analisa ringkas terhadap mahasiswa itu sendiri dan keadaan mereka sekarang ini. Untuk diskusi kali ini tidak perlulah untuk kita membuat analisa tentang undang-undang menindas, AUKU, pilihanraya yang tidak adil, telus dan demokratik, TNC, HEP, jentera-jentera pentadbiran universiti, politik wang, rasuah, ugutan universiti dan sebagainya kerana perkara-perkara ini sudah pun kita ketahui. Oleh itu untuk diskusi pada hari ini, elok kita tumpukan hanya kepada diskusi tentang analisa warga mahasiswa itu sendiri.

Pada pandangan saya masyarakat mahasiswa secara kasarnya dapat kita bahagikan kepada 3 kelompok utama. Kelompok yang pertama ialah kelompok yang pro-kerajaan BN dan pada anggaran saya mereka ini hanya dalam sekitar 10% sahaja dari keseluruhan populasi kampus. Kelompok yang kedua ialah kelompok gerakan mahasiswa Islam yang majoritinya terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa yang berorientasikan Islam yang juga merupakan sayap mahasiswa untuk organisasi Islam luar universiti seperti PAS, ABIM dan JIM dengan anggaran jumlah 15% daripada jumlah keseluruhan populasi kampus. Dan kelompok yang ketiga ialah kelompok mahasiswa yang “tak kisah”, “tak peduli”, “kaki enjoy”, “kaki studi” dan mereka ini saya anggarkan merangkumi 75% dari jumlah populasi kampus.

Sebelum kita menganalisa satu persatu ketiga-tiga kelompok mahasiswa yang wujud di universiti-universiti ini, eloklah juga jika sekiranya kita menganalisa secara umum situasi mahasiswa kini.

Agak sukar untuk menganalisa mahasiswa hari ini tanpa melihat secara keseluruhan proses pendidikan yang dilaluinya sejak dari kecil terutamanya sistem persekolahan rendah dan menengah yang ditempuhi sebelum mereka memasuki universiti. Lahirnya karektor, ciri-ciri, perwatakan, kecenderungan dan pemikiran mahasiswa kini sangat dipengaruhi oleh proses sosialisasi persekolahan rendah dan menengah serta lingkungan sosial mereka. Untuk membuat penilaian dan analisa terhadap sistem persekolahan mereka tentulah akan mengambil masa yang panjang dan mungkin tidak cukup lengkap untuk dihuraikan di dalam tulisan ini. Cukuplah jika sekiranya kita merumuskan bahawa sistem pendidikan awal pra-universiti (rendah dan menengah) yang ditempuhi oleh mahasiswa-mahasiswa kini adalah suatu sistem pendidikan yang tidak menggalakkan pelajar menjadi manusia yang berfikiran kritikal.

Sistem pendidikan yang berbentuk sehala, mengikut tanpa soal, hanya menyalin nota tanpa proses perbincangan kritikal, tiada proses dialog dan engagement guru-murid, tiada proses untuk melahirkan kreativiti dan inovasi dalam berfikir, menyuap maklumat dan menghafal serta memuntahkan semula ke dalam peperiksaan, penumpuan akademik semata-mata tanpa menghubungkannya dengan realiti kehidupan sebenar di luar, pertanyaan-pertanyaan yang sukar tidak digalakkan, perbezaan pandangan tidak dibenarkan; pendek kata sistem pendidikan yang mereka tempuhi selama 10 tahun itu hanyalah menghasilkan pelajar-pelajar yang tumpul otak. Mereka mungkin cemerlang di dalam peperiksaan akademik mendapat 20 A dan sebagainya tetapi hakikat yang wujud di universiti-universiti sekarang ini ialah mereka tidak punya keupayaan berfikir secara kritikal.

Kerana itu mahasiswa yang wujud di universiti sekarang ini adalah juga hasil daripada kesinambungan suatu sistem pendidikan awal yang banyak kelemahannya. Dan ini ditambah pula dengan perubahan masyarakat yang berlaku dengan pantas hasil dari perkembangan ekonomi kapitalisme yang pesat yang melahirkan pula nilai-nilai baru yang tak terjawab oleh sistem pendidikan yang sedia ada kini. Nilai-nilai baru yang sudah pun menjadi budaya masa kini seperti konsumerisme, materialisme, hiburanisme, self-centred dan individualisme (akibat perkembangan ekonomi super-kapitalisme yang wujud sekarang ini) turut memberi pengaruh yang besar dalam mencorakkan karektor, ciri-ciri, perwatakan, kecenderungan dan pemikiran mahasiswa-mahasiswa masa kini.

Perkembangan ekonomi tahap super-kapitalisme sekarang ini jugalah yang mendorong kepada pengkomoditian pendidikan di mana universiti dikoporat dan diswastakan. Atau dengan kata lain pendidikan sepertimana kereta, ikan kembung, jeans levis, handfone nokia adalah bahan komoditi yang diperdagangkan untuk meraih keuntungan semaksima mungkin. Apa yang wujud sekarang ini ialah tiada lagi pendidikan di peringkat kolej atau universiti yang percuma, tidak seperti di tahun-tahun 70an dahulu atau ditahun 80an dan 90an dimana wujud pinjaman boleh ubah. Semuanya harus dibayar dengan biaya yang mahal. Untuk menamatkan pengajian dan mendapatkan segulung ijazah seseorang mahasiswa itu harus membayar antara RM25,000 – RM50,000 yang didahulukan (atau diikat) oleh kerajaan melalui skim pinjaman pendidikan. Beban hutang pendidikan ini telah melahirkan rasa takut di kalangan ramai mahasiswa-mahasiswa untuk bergiat aktif di dalam kegiatan-kegiatan yang bersifat politikal.

Dengan beban hutang yang sebegitu besar ianya juga memberi tekanan kepada ramai mahasiswa untuk tidak menghampakan harapan ibu-bapa dan keluraga mereka kerana jika sekiranya mereka dibuang universiti kerena terlibat di dalam aktiviti-aktiviti politikal, selain dari menanggung malu, keluarga dan ibu-bapa merekalah nanti yang perlu menanggung beban hutang tersebut. Tekanan keluarga dan tekanan hutang pendidikan yang terhasil dari pengkomoditian pendidikan di peringkat universiti turut mempengaruhi perwatakan dan pemikiran mahasiswa kini. Dan pastinya pula bayaran untuk universiti swasta adalah lebih mahal dan beban hutangnya pula lebih parah (kerana itu hampir tidak ada kita dengar tentang aktivisme politik dilingkungan mahasiswa-mahasiswa universiti atau kolej swasta).

Pengkomoditian pendidikan universiti sebagai suatu perniagaan yang berorientasikan keuntungan telah juga menyebabkan kemasukan pelajar-pelajar baru ditambah, course-course baru diperkenalkan, tempoh pengajian dipendekkan, yuran-yuran baru diwajibkan dan pelbagai inisiatif lain untuk menambah keuntungan universiti. Lebih pendek tempoh pengajian, semakin kurang perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh universiti. Lebih pendek tempoh pengajian, lebih ramai dan lebih segera pelajar baru dapat dimasukkan. Lebih ramai pelajar masuk, lebih banyaklah juga wang masuk ke kantung perniagaan universiti. Walaubagaimana pun penambahan pelajar-pelajar universiti ini tidak pula seiring dengan penambahan kemudahan-kemudahan dan fasiliti-fasiliti di dalam universiti. Ini tidaklah menghairankan kerana apabila pendidikan telah menjadi komoditi perdagangan untuk meraih keuntungan, pastilah pembinaan lebih banyak fasiliti dan kemudahan hanya akan menambah perbelanjaan universiti (baca: mengurangkan keuntungan universiti).

Pelajar bertambah tetapi kemudahan dan fasiliti universiti (seperti kelas, asrama, lab, komputer dan sebagainya) tak bertambah serta tempoh pengajian yang dipendekkan menjadikan jadual kuliah seseorang mahasiswa itu sentiasa sibuk dan padat dimana kelas pada waktu malam dan pada hari minggu sekarang ini adalah suatu perkara yang biasa dan diterima oleh setiap mahasiswa walaupun pada 5-6 tahun lepas kelas-kelas di waktu-waktu yang tak munbasabah seperti sekarang ini tidak pernah pun wujud. Dan ada universiti di Malaysia ini yang menjalankan kuliahnya di padang rumput dan di stadium! Ini belum ditambah dengan pelbagai assignment, thesis, homework, kajian, praktikal dan sebagainya yang memenuhi jadual harian seorang mahasiswa pada hari ini. Jadual harian yang sentiasa sibuk dan padat juga menyebabkan lebih banyak tekanan yang harus mereka hadapi untuk menyelesaikan kuliah mereka supaya harapan ibu-bapa dan keluarga dapat mereka tunaikan serta hutang pendidikan yang berjumlah puluhan ribu itu dapat mereka bayar kembali setelah mereka “berjaya” memperolehi ijazah dan mendapat kerja yang baik.

Dengan jadual kehidupan mahasiswa kini yang padat dan ketat ditambah pula dengan tekanan-tekanan kewangan dan sosial, maka tidak hairanlah semakin lama semakin kurang mahasiswa yang aktif di dalam kegiatan-kegiatan aktivisme mahasiswa yang bersifat politikal. Dan pastilah dengan tekanan-tekanan yang sebegitu rupa, lebih ramai mahasiswa yang bergiat aktif di dalam aktiviti-aktiviti yang dapat meringankan tekanan seperti aktiviti seni, budaya, teater, rekreasi, sukan, hiburan dan aktiviti ringan yang lain.serta menjauhkan diri mereka dari terlibat di dalam apa sahaja aktiviti yang berisiko yang membolehkan mereka dibuang atau digantung asrama, kolej dan universiti.

Begitulah secara umumnya gambaran kasar tentang mahasiswa kini. Walaubagaimana pun gambaran di atas hanyalah hasil dari pemerhatian secara kasar semata-mata tanpa kajian yang saitifik dengan sokongan data-data impirikal. Dari analisa umum ini, marilah pula kita bergerak sedikit ke hadapan untuk menganalisa satu persatu kelompok-kelompok mahasiswa yang telah saya bahagikan kepada 3 kelompok utama di bahagian awal tulisan saya tadi. Ketiga-tiga kelompok ini pastilah mempunyai karektor-karektor dan kecenderungan serta pemikiran yang berbeza pula.

Bagi kelompok mahasiswa yang pro-kerajaan, walaupun jumlah mereka kecil tetapi mereka mendapat sokongan dan dukungan daripada TNC, HEP dan pihak pentadbiran universiti. Memandangkan pada pilihanraya universiti baru-baru ini mereka telah berjaya menguasai struktur kepimpinan kampus, ini bermakna akses terhadap fasiliti kampus dan juga akses kepada mahasiswa adalah lebih mudah. Ruang untuk mereka bergerak dan mendekati mahsiswa di peringkat akarumbi juga lebih luas. Penguasaan penuh terhadap struktur kepimpinan di universiti membolehkan mereka untuk meletakkan orang-orang mereka sendiri di tingkat kepimpinan di pelbagai persatuan, kolej dan fakulti yang ada di universiti. Tambahan pula dengan sokongan daripada pihak pentadbir universiti, TNC dan HEP, mereka terkecuali daripada menerima tekanan, ugutan dan penindasan. Kemungkinan besar juga usaha-usaha mereka untuk mengadakan program dan aktiviti untuk mahasiswa lebih mudah untuk diluluskan.

Begitu juga dengan hal-hal kebajikan mahasiswa lebih mudah untuk ditimbang oleh pihak pentadbiran universiti jika mereka yang membawanya. Dengan ruang, akses, fasiliti, kemudahan dan sokongan dari pihak pentadbir, secara kasarnya kelihatan kelompok mereka ini mempunyai potensi yang besar untuk mempengaruhi sebahagian besar dari masyarakat mahasiswa untuk menyokong mereka. Secara perwatakan pula mereka ini lebih cenderung aktif di dalam persatuan-persatuan kampus atau aktiviti-aktiviti yang berorientasikan rekreasi, seni, budaya, sukan, hiburan dan sedikit sebanyak program-program ilmiah yang dikawal isinya oleh pihak universiti. Sebahagian besar dari mereka adalah mahasiswa Melayu tetapi mereka juga mempunyai hubungan kerjasama dengan persatuan-persatuan mahasiswa bukan Melayu (Cina dan India) yang juga cenderung pro-BN.

Kemungkinan keberpihakan mereka kepada kerajaan adalah kerana mereka melihat cara yang terbaik dan efektif untuk memperjuangkan kebajikan mahasiswa ialah melalui jalan rundingan dan kerjasama dengan pihak pentadbir universiti yang tentunya mendukung aspirasi Kerajaan BN. Kemungkinan juga mereka (terutamanya pimpinan-pimpinan) bersikap pro-kerajaan kerana melihat peluang-peluang politik (di dalam UMNO khususnya) atau ekonomi (pekerjaan dan karear) yang mungkin lebih mudah untuk mereka perolehi selepas tamat pengajian jika sekiranya mereka menyebelahi pihak kerajaan.

Tidak kurang juga yang menyertai kelompok mahasiswa pro-kerajaan ini kerana habuan-habuan yang berupa material seperti jawatan, trip ke dalam dan luar negeri, projek-projek kecil, makan-makan besar di restoren atau hotel, penginapan di asrama yang lebih mewah, peluang untuk berjumpa tokoh-tokoh UMNO dan kerajaan, handfone, wang poket untuk kerja-kerja pilihanraya dan pelbagai habuan-habuan material yang lainnya. Pendek kata, perjuangan mereka tidak bersandarkan kepada suatu ideologi atau kepercayaan yang kukuh, yang menjadi sandaran mereka ialah habuan material semata-mata baik kuasa, jawatan, karear masa hadapan, kemewahan, wang ringgit atau pun sebuah handfone nokia yang berkamera!

Secara kasarnya kelompok mahasiswa ini berfikiran UMNO dan mewarisi perangai, tabiat dan tingkahlaku UMNO. Keupayaan intelektual mereka sangat terbatas sekali. Hujah-hujah mereka lemah dan tidak meyakinkan. Pemikiran mereka tertutup, tidak kritikal dan cenderung dogmatik serta sukar untuk mereka menerima pandangan-pandangan lain. Jika mereka dikemukakan dengan idea atau hujah yang berlawanan dengan pandangan mereka, biasanya mereka terus menolak hujah tersebut tanpa memikir dan menghalusinya secara rasional.

Walaupun tahap pemikiran dan keupayaan intelektual mereka rendah tetapi memandangkan majoriti dari masyarakat mahasiswa itu sendiri juga telah mandul fikirannya (akibat dari suatu sistem pendidikan yang juga mandul), maka dengan sebab itulah mudah untuk mereka menguasai kepimpinan kampus tanpa saingan (di tambah pula mereka disokong penuh oleh pihak pentadbir universiti beserta dengan jentera-jenteranya).

Manakala kelompok yang kedua pula iaitu kelompok mahasiswa gerakan Islam (yang sering dilabelkan sebagai “anti-establishment”) tidak kurang juga lemahnya. Sepertimana halnya dengan kelompok mahasiswa pro-kerajaan BN, kelompok mahasiswa gerakan Islam ini juga secara umumnya berfikiran tertutup, cenderung dogmatik dengan keupayaan intelektual yang terbatas serta sukar untuk menerima pandangan-pandangan lain walaupun pandangan-pandangan lain itu mungkin lebih rasional. Kelompok mahasiswa ini yang sebenar-benarnya adalah cawangan-cawangan di dalam universiti kepada PAS, ABIM dan JIM.

Memandangkan mereka sudah terlalu lama hidup di dalam suatu sistem gerakan Islam yang feudal, dogmatik, tidak demokratik dan tiada toleransi terhadap perbezaan pandangan ditambah pula dengan puluhan tahun bergantung dengan idea-idea, syallabus-syallabus, pandangan dan pemikiran bapak-bapak mereka (PAS, ABIM dan JIM), menyebabkan mereka telah kehilangan kemandirian untuk berfikir secara kritikal dan bergerak secara kreatif dan inovatif. Fikiran mereka tumpul baik dari segi idea pemikiran mahu pun strategi gerakan. Kelemahan mereka dengan jelas terbongkar apabila pihak universiti mewajibkan setiap mahasiswa turun mengundi.

Sebelum ini apabila mahasiswa tidak diwajibkan mengundi, mereka dengan mudah memenangi setiap pilihanraya kampus yang diadakan. Mudah untuk mereka menang kerana kelompok-kelompok mereka sahajalah yang turun mengundi manakala sebahagian besar lagi tidak peduli langsung terhadap pilihanraya kampus ini. Tetapi apabila mengundi diwajibkan ke atas setiap mahasiswa, barulah mereka sedar tinggi rendahnya langit ini. Bukan sahaja terbongkar kelemahan mereka, tetapi juga terburai kenyataan bahawa yang sebenarnya mereka tidak begitu disukai oleh sebahagian besar masyarakat mahasiswa yang lain. Dengan hanya 15% daripada jumlah masyarakat mahasiswa, logiknya tidak akan mungkin mereka akan dapat merebut kembali struktur kepimpinan kampus selagi setiap mahasiswa diwajibkan turun mengundi!

Dengan posisi mereka yang sekarang ini hampir tiada kedudukan di dalam struktur kepimpinan kampus, masa depan mereka semakin malap dan gelap. Bukan sahaja kelompok mereka tidak disukai oleh mahasiswa-mahasiswa lain tetapi juga ruang dan akses terhadap fasiliti dan kemudahan kampus serta akses terhadap mahasiswa akarumbi juga telah hampir-hampir tertutup kecuali mungkin di UIA atau di fakulti-fakulti pengajian Islam semata-mata. Di tambah pula dengan penutupan segala macam ruang, penindasan, ugutan dan tekanan yang harus mereka hadapi dari pihak pentadbir universiti dan jentera-jenteranya, peluang untuk mereka merebut kembali kekuasaan di kampus amatlah kabur sekali. Walaupun begitu, pada pandangan saya mereka tidak seharusnya menyalahkan pihak pentadbiran Universiti, HEP dan TNC semata-mata. Sebaliknya, lebih elok mereka mencermin diri sendiri, merenung dan menganalisa kembali diri mereka dengan melakukan kritik-diri.

Secara peribadi saya melihat kelompok mahasiswa gerakan Islam ini sebagai suatu kelompok mahasiswa yang bersifat sektarian dan eksklusif. Sektarian di sini membawa maksud mereka hanya bergaul, beraktiviti dan bergerak bersama-sama mereka sahaja. Mereka mungkin ada membuat jaringan dengan kelompok-kelompok bukan Melayu/Islam yang lain yang juga dilabel “anti-establisment” tetapi hubungan mereka hanyalah bersifat superfisial. Hubungan mereka hanyalah setakat mengadakan aktiviti demontrasi bersama, menyertai forum bersama atau membuat petisyen bersama tetapi tidak ada hubungan yang bersifat pemikiran yang lebih dalam dijalin dengan kelompok-kelompok bukan Melayu/Islam ini.

Manakala eksklusif pula membawa maksud tidak ada kepelbagaian fikiran dan kepelbagaian orang di dalam kelompok mereka. Mereka eksklusif orang-orang yang berfikiran dan berperwatakan Islamik ala-PAS, ABIM atau JIM semata-mata. Tahap toleransi dan penerimaan mereka terhadap kelompok-kelompok mahasiswa yang lain terutamanya yang “tak peduli” “tak kisah” “kaki enjoy” dan “kaki party” adalah sangat rendah. Mereka memandang kelompok-kelompok mahasiswa seperti ini sebagai rosak akhlak dan tidak bermoral.

Lantaran itu mereka mengambil sikap untuk tidak cuba merapati dan memahami. Kalau mereka rapati pun tujuan mereka adalah untuk mendakwah kelompok-kelompok ini menjadi seperti mereka. Kepelbagaian cara hidup dan gaya hidup manusia tidak ada di dalam kamus fikiran mereka. Kalau boleh mereka mahu semua manusia Melayu-Islam semuanya seragam seperti mereka semata-mata atau dari hujung rambut sampai hujung kaki –sepesen dengan mereka. Inilah sifat sektarian dan eksklusif yang saya perhatikan wujud dengan berleluasa di kalangan kelompok-kelompok mahasiswa gerakan Islam ini. Kesan dari sikap mereka yang tidak mahu menerima kepelbagaian gaya hidup ini dan tindak tanduk mereka yang memusuhi kelompok yang mempunyai pandangan hidup yang berbeza menyebabkan mereka tidak begitu disukai oleh kelompok-kelompok mahasiswa lain.

Tindakan memprotes konsert-konsert, menjadi polis moral di kampus, penjaga aurat manusia, obses untuk menutup tubuh wanita dan sebagainya telah menjauhkan mereka daripada masyarakat mahasiswa yang lain. Sikap mereka ini sebenarnya terhasil dari ketidakupayaan mereka untuk memahami perubahan-perubahan yang berlaku dengan pesatnya di dalam masyarakat sekarang ini. Mereka beranggapan bahawa masyarakat masih lagi di tahun 80an (tahap tertinggi pencapaian gerakan Islam dan tak akan mungkin akan tercapai lagi selepas ini) sedangkan lebih 20 tahun sudah berlalu dan asas-asas serta nilai-nilai masyarakat telah pun berubah dengan kepesatan ekonomi yang berlangsung.

Ketakutan terhadap perubahan-perubahan yang sedang berlaku pesat ini tidak ditanggapi dengan analisa yang kritis dan mendalam sebaliknya direspon dengan penolakan terus tanpa perbahasan yang rasional dan teliti. Ini tidaklah menghairankan kerana kelompok ini juga malas membaca. Bahan-bahan bacaan yang mereka ulang baca masih lagi bahan-bahan bacaan lama tahun 60an terbitan Pustaka Salam dan Pustaka Fajar dengan Hassan al-Bana, Fathi Yakan, Said Hawwa, Said Qutb masih menjadi sumber rujukan tersohor yang tak boleh dikritik langsung sedangkan sekarang ini sudah tahun 2006, lebih 40 tahun sudah berlalu yang mana permasalahan-permasalahan yang wujud pada hari ini tentulah juga berbeza. Dengan perubahan-perubahan baru yang terjadi, analisanya juga tentulah berbeza tetapi bagi kelompok-kelompok mahasiswa gerakan Islam ini mereka masih tetap berpegang kepada buku-buku lama dan dogmatik pula terhadap idea-ideanya yang tak boleh dicabar langsung.

Kerana itu idea-idea dan pandangan-pandangan di tahun 60an itu sampai sekarang masih mereka usung dan jaja walaupun konteks keadaan masyarakat sudah jauh berbeza. Ketidaupayaan mereka untuk menyesuaikan diri dan pemikiran dengan perubahan yang berlaku menyebabkan kelompok mahasiswa gerakan Islam ini semakin ketinggalan dan dipinggirkan, semakin lama kelompok mereka menjadi semakin kecil. Ini terbukti dengan pilihanraya kampus baru-baru ini di mana mereka tersungkur jatuh di seluruh universiti di Malaysia ini. Begitu juga dengan proses penambahan anggota baru (rekrutment) yang semakin lama semakin kecil jumlahnya dan semakin sukar pula.

Sepertimana dengan kelompok mahasiswa pro-kerajaan, kelompok mahasiswa “anti-establisment” ini juga tidak mempunyai pemikiran yang terbuka, tidak kritikal, tahap keupayaan intelektual yang rendah, sangat dogmatik dan cenderung untuk menolak idea-idea lain yang dilihat bertentangan dengan pandangannya atau pandangan bapak-bapak mereka (PAS, ABIM dan JIM). Proses untuk menganalisa dan menghalusi secara rasional pandangan-pandangan yang berbeza hampir tidak ada sama sekali. Ini mungkin hasil dari sifat dogmatiknya yanglahir dari suatu sistem yang feudal dan tidak demokratik dan tidak membenarkan perbezaan pandangan atau mungkin juga hasil dari malas membaca dan malas mencari jawapan-jawapan baru (mungkin sudah berpuas hati dengan jawapan yang telah dihadamnya melaui usrah-usrah dan tamrin-tamrin). Kerana kemalasannya untuk membaca dan menelaah bahan-bahan bacaan baru masakini, menyebabkan pengartikulasian hujahnya juga lemah dan tidak meyakinkan serta mudah pula dibidas. Kelemahan dan kedangkalan hujah ini juga menyebabkan mereka menghamburkan, balik-balik hujah yang sama dan dihamburkan dengan penuh emosi pula tanpa penjelasan yang rasional dan meyakinkan.

Pengartikulasian mereka terhadap isu-isu yang diangkat juga lemah dan lembik. Ini menyebabkan isu-isu yang cuba dibawa tidak berupaya untuk mempengaruhi mahasiswa-mahasiswa yang lain. Kelemahan di dalam pengartikulasian isu adalah kesan dari kurang membaca dan kurang diskusi dan justeru itu analisa yang dihasilkan tentulah cetek dan tidak mendalam. Kelompok mahasiswa gerakan Islam ini juga cenderung mengangkat isu-isu moral dan isu-isu kulit seperti isu konsert, isu percampuran lelaki perempuan, isu aurat, isu tubuh perempuan, isu tudung, isu muzik, isu gaya hidup dan yang lainnya sebagai isu utama. Sedangkan isu-isu isi yang lebih mustahak seperti isu keadilan, isu kebajikan mahasiswa, isu rakyat, isu demokrasi, isu pendidikan, isu hak asasi dan isu-isu yang melibatkan semua mahasiswa dari pelbagai kaum, agama dan budaya sering gagal diartikulasikan dengan baik. Terdapat suatu obsesi di kalangan mahasiswa gerakan Islam ini untuk membawa mahasiswa-mahasiswa lain ke arah ketaatan penuh terhadap ritual-ritual dan simbol-simbol Islam sedangkan permasalahan dunia pada hari ini tidak mungkin boleh selesai hanya dengan menarik lebih ramai orang untuk taat pada ritual dan simbol Islam semata-mata.

Gerakan mahasiswa Islam gagal untuk membarengi simbol-simbol dan ritual-ritual Islam yang bersifat kulit ini dengan falsafah atau isi Islam itu sendiri di dalam kerangka perjuangannya. Kerana itu perjuangan gerakan mahasiswa Islam cenderung sektarian dan eksklusif dan hanya merangkumi mahasiswa Melayu-Islam sahaja sedangkan realiti di dalam kampus universiti (dan juga negara Malaysia) terdapat pelbagai kelompok lain seperti Cina, India, Iban, Kadazan, Serani, Orang Asli dan sebagainya yang juga merupakan kelompok yang harus dirangkumkan di dalam gagasan perjuangan yang lebih bersifat inklusif (Harus diingat orang Islam di negara ini hanya 54% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia!). Kegagalan untuk mengemukakan pemikiran dan gagagasan-gagasan perjuangan yang sesuai dengan konteks masyarakat Malaysia yang plural ini, kelemahan mengartikulasi isu-isu isi dengan baik dan kecenderungan untuk membawa isu-isu moral dan kulit serta obsesi berlebih-lebihan terhadap ritual dan simbol agama adalah antara faktor-faktor kenapa kelompok mahasiswa gerakan Islam ini semakin terpinggir dan menjauh dari masyarakat mahasiswa yang lain.

Secara jujur saya berpandangan bahawa kelompok mahasiswa gerakan Islam ini sudah pun sampai ke kemuncak kehebatannya di tahun 80an dahulu dan sekarang adalah zaman kejatuhannya. Kejatuhan kelompok mahasiswa Islam ini tidak akan berhenti, malah semakin lama ia akan semakin jatuh dan tidak akan naik-naik lagi kecuali beberapa perubahan radikal berlaku di tahap pemikiran dan gagasannya. Atau dengan kata lain kejatuhan kelompok mahasiswa ini hanya akan dapat dihentikan jika berlakunya perubahan paradigma pemikiran di kalangan pimpinan dan anggota-anggotanya di mana pemikiran-pemikiran lama dinilai kembali, dikritik dan digantikan dengan pemikiran-pemikiran baru yang lebih bersesuaian dengan perubahan zaman serta gagasan-gagasan baru yang berupaya menjawab permasalahan-permasalahan masyarakat kampus yang melintasi batas-batas kaum, agama dan budaya dengan teras keadilan (justice) untuk semua tidak kira Melayu, Cina atau India.

Manakala kelompok yang terakhir di dalam masyarakat mahasiswa ialah kelompok ketiga atau kelompok mahasiswa yang “tak kisah”, “tak peduli”, “kaki enjoy”, “kaki party” dan “kaki studi”. Kelompok ini pada perkiraan saya adalah kelompok majoriti dengan anggaran 75% dari jumlah keseluruhan mahasiswa. Kelompok ini dikatakan “tidak peduli” atau “tidak kisah” kerana kita sendiri tidak pernah berusaha untuk pergi dan mendekati mereka. Secara kasarnya kelompok ini adalah kelompok mahasiswa yang multi-rasial dengan majoritinya adalah mahasiswa Melayu. Mereka memang tidak peduli dengan politik kampus. Bagi mereka politik kampus adalah membuang masa dan tidak ada hasil. Ini kerana dari pandangan mereka MPP bertukar-ganti tetapi tiada perubahan yang mereka perolehi. Oleh sebab itu baik tidak peduli. Lebih baik enjoy, studi, dating, lepak kat mid valley, tengok vcd, main game, bersukan, kerja part-time, join persatuan-persatuan seni, budaya dan rekreasi adalah lebih berfaedah dan membawa keuntungan. Dengan kata lain mereka melihat aktiviti-aktiviti yang bersifat politikal ini berisiko tinggi, boleh dibuang universiti, tak “kool”, skema, hanya untuk mat dan minah surau dan tidak akan membawa apa-apa perubahan di dalam hidup mereka.

Tetapi walaupun mereka tidak suka kepada politik kampus tetapi memandangkan mengundi adalah wajib, maka terpaksa jugalah mereka turun mengundi. Dan dalam memilih calon adalah lebih baik memilih calon yang telah dipersetujui oleh universiti kerana mereka tidak mahu kehilangan kemudahan-kemudahan yang telah diberi contohnya kemudahan untuk tinggal di asrama kolej. Tetapi kemungkinan juga mereka memilih calon bukan dari kelompok gerakan mahasiswa Islam kerana mereka tidak mahu ada polis moral yang mengganggu kehidupan mereka di kampus. Namun begitu, kelompok ini bukanlah kelompok yang bodoh dan mengikut telunjuk sahaja. Saya percaya mereka adalah kelompok yang mampu berfikir jika usaha-usaha mendekati dan mengartikulasi idea dengan strategi yang kreatif dilakukan terhadap kelompok mereka. Untuk saya ketidakpedulian mereka itu adalah sebahagian dari protes mereka terhadap politik kampus itu sendiri yang mereka lihat tidak membawa apa-apa perubahan. Ketidakpedulian mereka itu bersebab. Dan kita perlu mencari sebab untuk menjadikan mereka kembali peduli.

Selama ini kelompok ini jarang didekati, dirapati dan diajak sembang-sembang serta diskusi. Memandangkan mereka adalah kelompok majoriti (75%) maka wajarlah mereka ini yang dijadikan sasaran untuk disedarkan dan diorganisasi. Namun tidak mungkin mereka dapat kita sedarkan jika kita masih menggunakan kaedah-kaedah lama dengan pemikiran-pemikiran yang lama juga. Suatu kaedah, gagasan dan pemikiran baru perlu dicari dan didiskusi dengan rinci. Justeru itu, langkah yang paling mendesak dan menjadi prioriti utama masa kini ialah pembentukan satu wadah baru untuk menyusun kelompok mahasiswa yang “tidak peduli” ini.

Menyedarkan dan membawa mereka ke dalam kelompok gerakan mahasiswa Islam bukanlah suatu langkah yang baik terutamanya pada ketika masayarakat mahasiswa yang lainnya tidak menyukai kelompok gerakan mahasiswa Islam ini ditambah pula dengan label-label yang banyak melekat ditubuh gerakan mahasiswa Islam yang sukar untuk dikikis sama sekali. Lagi pun fikiran, gaya hidup dan tingkahlaku yang berbeza pastinya menyukarkan proses penyesuaian diri mereka. Tambahan pula kelompok gerakan mahasiswa Islam ini pada pandangan mereka hanyalah penyambung tangan parti politik luar semata-mata dan hanya peduli dan berjuang tentang masalah moral sahaja. Kerana itulah langkah yang paling wajar dilakukan ialah menyediakan satu wadah baru untuk mereka kerana sehingga kini masih belum ada wadah yang dibangunkan untuk menempatkan kelompok mahasiswa ketiga ini.

Wadah baru haruslah diisi pula dengan pemikiran-pemikiran baru dan gagasan-gagasan baru. Dan untuk mengisi wadah baru dengan pemikiran dan gagasan baru, tidak ada jalan lain kecuali dengan banyak membaca, banyak menganalisa, banyak berdiskusi dengan diskusi-diskusi yang mendalam dan teliti dan banyak berfikir tentunya. Apakah bentuk wadahnya, apakah isi-isi pemikirannya, apakah gagasan-gagasannya, apakah strategi-strateginya dan bagaimana untuk membangunkan wadah baru ini – inilah yang sepatutnya menjadi tugas dan tanggungjawab kita yang paling mendesak sekarang ini untuk kita fikirkan dalam-dalam, bersama-sama.

Selamat Berfikir!

___________________________________________________________________________
Nota: Analisa mahasiswa yang dilakukan di atas adalah suatu analisa berdasarkan kepada pemerhatian dan pandangan peribadi saya terhadap kelompok-kelompok mahasiswa yang wujud di kampus-kampus pada hari ini dan realiti kehidupan yang harus mereka tempuhi pada setiap hari. Analisa di atas hanyalah suatu pandangan secara kasar dan kerana itu ianya harus didebatkan, dibahaskan dan diperbetulkan jika salah serta dianalisa dengan lebih mendalam lagi supaya kita beroleh rumusan dan pemahaman yang lebih tajam untuk kebaikan dan manafaat bersama. Sebarang komen atau kritik sila email: sebilahparangtumpul@yahoo.com

Wednesday, February 15, 2006

Ada Apa Dengan Kartun Nabi Muhammad?

Sebelum saya meneruskan tulisan saya ini, eloklah kiranya saya memohon maaf terlebih dahulu kepada pembaca-pembaca laman ini jika sekiranya tulisan saya ini menimbulkan sensitiviti, ketidakpuasan hati dan kemarahan anda semua terhadap diri saya. Bukanlah tujuan saya untuk menyiram petrol ke dalam api yang sudah sedia marak sekarang ini. Sebaliknya api yang marak jika tidak dikawal boleh membakar diri sendiri. Lantaran itu sebelum kita mengikut sahaja arus kemarahan yang wujud di kalangan masyarakat Islam sekarang ini, eloklah juga kita melihat sisi-sisi pandangan lain dari isu kartun yang dikatakan menghina Nabi Muhammad ini.

Saya seorang muslim dan tetap akan mempertahankan kepercayaan saya ini sampai bila-bila. Kerana saya seorang muslim, saya juga turut merasa marah dan geram apabila isu tentang kartun Nabi Muhammad ini diberitakan di media-media massa. Akan tetapi, mujurlah saya juga diberi akal-fikiran oleh Tuhan dan punya kesedaran rasional untuk meninjau, menghalusi dan mempersoalkan dengan lebih mendalam dari pelbagai sisi tentang isu kartun Nabi Muhammad ini.

Soalan pertama yang melintas ke dalam fikiran saya setelah marah dan geram saya sedikit reda ialah – adakah betul-betul sahih kita semua tidak dibenarkan untuk menggambarkan (termasuk melukis) wajah Nabi Muhammad di dalam apa jua bentuk pun? Jika sahih kita tidak dibenarkan, dari mana datangnya dalil atau sumber rujukan terhadap hukum ini.

Adakah terdapat dengan jelas dan terang di dalam kitab suci Al-Quran bahawa Tuhan telah berfirman mengharamkan kita dari menggambarkan wajah Nabi Muhammad. Atau adakah dalil ini datangnya dari sunnah Nabi Muhammad sendiri di mana Nabi Muhammad bersabda kepada para sahabat untuk umat manusia tidak menggambarkan wajah beliau setelah beliau wafat nanti. Dan jika ada dalilnya yang jelas, di dalam konteks apa Tuhan berfirman atau Nabi bersabda serta apakah sebab-musabab hukum ini dibuat. Semua soalan ini menyucuk-nyucuk fikiran saya untuk mencari jawapan-jawapannya.

Hasil dari pencarian saya dari dua sumber utama (Al-Quran dan Sunnah Nabi) hukum Islam ini, saya tidak mendapat jawapan yang jelas kepada soalan-soalan yang saya nyatakan di atas tadi. Tidak ada firman Tuhan dan tidak ada sabda Nabi yang jelas menyeru kepada pengharaman lukisan wajah Nabi Muhammad. (Oleh kerana itu, jika ada sesiapa yang membaca tulisan saya ini dan mempunyai jawapan yang jelas terhadap soalan-soalan saya itu, silalah memberi maklumbalas kerana saya juga di dalam proses untuk terus mencari).

Oleh kerana tiada jawapan yang jelas dan terang diutarakan oleh Al-Quran mahu pun Sunnah Nabi Muhammad di dalam penetapan hukum ini, makanya pada fikiran rasional saya, tentulah penetapan hukum ini dilakukan berdasarkan tafsiran manusia samada melalui ijma’, qiyas atau ijtihad ulamak. Memandangkan ianya adalah satu tafsiran manusia, makanya tafsiran juga boleh berbagai-bagai dan tidak semestinya tunggal semata-mata. Tafsiran juga harus dilihat daripada zaman tafsiran itu dibuat dan konteks tafsiran itu dibuat.

Dari bacaan yang saya perolehi juga terdapat pelbagai tafsiran dan hukum yang berbeza-beza tentang lukisan wajah dan figur Nabi Muhammad, lukisan berbentuk figur, ukiran-ukiran figur dan patung serta soal pengambilan gambar foto. Kebanyakkan tafsiran dan hukum yang datang dari aliran Islam-Sunni tentang persoalan-persoalan ini adalah lebih ketat berbanding dengan Islam-Syiah yang agak lebih longgar. Bagi masyarakat Islam dari aliran Syiah, lukisan Nabi Muhammad tidaklah sesuatu yang diharamkan tetapi biasanya wajah (muka) Nabi Muhammad tidak dilukis sebaliknya digantikan dengan sinar cahaya. Begitu juga di zaman pemerintahan khalifah empayar Ottoman, patung-patung kecil (miniature) nabi Muhammad adalah sesuatu yang tidak diharamkan malahan khalifah-khalifah Islam Ottoman gemar mengunjungi dan mengappresiasi kerja-kerja seni seniman-seniman Islam yang menghasilkan miniature Nabi Muhammad ini yang dipamirkan di muzium-muzium seni.

Dari bacaan yang saya lakukan juga saya mendapati di zaman dahulu terdapat hukum yang mengharamkan pengambilan gambar foto dan alasan yang digunakan untuk mengharamkannya pada waktu itu ialah ia (gambar foto) dikira sebagai sesuatu yang boleh mendorong kepada penyembahan terhadap sesuatu yang lain daripada Tuhan. Walaubagaimana pun pada zaman ini, hukum tersebut sudah pun dimansuhkan dan tidak releven sama sekali. Di sini jelas bahawa tafsiran hukum dari manusia itu bersifat kontekstual dan tidak berbentuk kekal selama-lamanya. Hukum haram mengambil gambar foto pada zaman dahulu menjadi halal pula pada zaman kini.

Dari sini, fikiran rasional saya cuba menanyakan diri saya sendiri – jika sekiranya pada zaman Nabi Muhammad terdapat alatan-alatan kamera atau sebarang teknologi yang boleh merakam atau mencetak gambar beliau atau gambar para sahabat Nabi, adakah beliau akan mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan gambar-gambar tersebut dari dilukis, dirakamkan atau dicetak?

Saya tidak pasti apa jawapan yang akan diberikan oleh Nabi tapi saya agak pasti bahawa jika teknologi kamera wujud di zaman Nabi, pasti ramai orang akan mengabadikan gambar wajah Nabi dan para sahabat Nabi di dalam bentuk foto dan masalah tentang samada boleh atau tidak untuk kita menggambarkan wajah Nabi ini, tidak akan wujud sama sekali seperti sekarang ini!

Bukanlah niat saya di sini untuk menyatakan bahawa tindakan menggambarkan wajah Nabi Muhammad itu halal atau dibenarkan. Bukan itu niat saya sama-sekali. Apa yang menjadi niat saya adalah untuk kita sama-sama mempersoalkan kembali sesuatu yang disuapkan kepada kita sejak sekian lama. Untuk tidak hanya menerima sahaja suapan tersebut tanpa menggali dengan lebih mendalam tentang perkara atau hukum yang disuapkan kepada kita itu. Hanya kerana perkara atau hukum itu berkaitan dengan agama tidak semestinya kita hanya menerima bulat-bulat tanpa menyelidikinya terlebih dahulu.

Jika sekiranya tidak ada jawapan yang jelas diberikan di dalam Al-Quran mahu pun Sunnah Nabi tentang isu menggambarkan wajah Nabi Muhammad ini, kenapa kemarahan kita begitu meluap-luap sekali? Adakah kemarahan kita adalah kerana lukisan kartun Nabi Muhammad itu atau pun kemarahan kita adalah kerana imej negatif yang dipaparkan oleh kartun Nabi Muhammad itu?

Jika sekiranya Nabi Muhammad dilukiskan di dalam bentuk yang positif sebagai seorang yang baik, ulung, hebat, pemimpin yang adil, pencinta kedamaian, pembawa kebenaran dan sebagainya – adakah masyarakat Islam akan memberi reaksi marah seperti sekarang ini? Jika sekiranya jawapan kita ialah tidak, pastinyalah isu yang sebenar-benarnya bukanlah isu lukisan wajah Nabi Muhammad itu tetapi isu yang sebenar ialah isu melukis wajah Nabi Muhammad di dalam bentuk yang negatif!

Adakah ini bermakna masyarakat Islam tidak akan bereaksi keras dan ganas jika sekiranya lukisan wajah Nabi Muhammad digambarkan di dalam bentuk yang positif? Saya sendiri berandaian bahawa masyarakat Islam akan tetap memberi reaksi tetapi reaksi yang diberikannya tidaklah semarah dan sekeras sekarang ini. Jika andaian saya ini benar, maka bolehlah kita katakan bahawa kemarahan masyarakat Islam bukan sangat disebabkan oleh lukisan wajah Nabi Muhammad tetapi lebih disebabkan oleh lukisan wajah Nabi Muhammad yang dikarikaturkan di dalam bentuk yang negatif. Kemarahan ini boleh di fahami kerana buat masyarakat Islam Nabi Muhammad adalah suatu figur yang mulia, suci, sempurna dan tiada cacat celanya.

Ada apa sebenarnya dengan kartun Nabi Muhammad ini? Untuk menjawab soalan ini eloklah kita mengetahui serba sedikit tentang latar belakang kartun Nabi Muhammad ini. Kartun ini dilukis sebagai suatu respon terhadap dilemma, kerisauan dan ketakutan para artis/kartunis/seniman Denmark apabila mereka mahu menghasilkan kerja seni yang melibatkan pandangan mereka terhadap Islam kerana Islam dilihat sebagai suatu subjek yang sensitif, taboo dan tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun.

Lantaran itu sebuah suratkhabar Demark (Jyllands-Posten) telah mengkomisyenkan 12 orang artis/kartunis/seniman Denmark untuk menghasilkan kerja seni di dalam bentuk lukisan untuk menggambarkan persoalan dan dilemma ini dan apa persepsi mereka terhadap subjek Islam itu sendiri. Dari situ, 12 orang artis/kartunis/seniman Denmark yang telah dikomisyenkan itu telah menghasilkan lukisan 12 kartun (setiap seorang melukis satu kartun) yang kemudiannya disiarkan di akhbar tersebut pada bulan September tahun lepas (hampir 5 bulan yang lepas – kenapa baru sekarang isu ini menjadi hangat adalah satu perkara yang lain dan kita boleh melawat laman-laman web teori konspirasi untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya).

Bagaimana rupanya 12 kartun ini? Keduabelas-duabelas kartun ini boleh kita akses dari laman-laman web yang ada. Bagi saya sebelum kita marah melulu, eloklah kiranya kita meneliti dahulu setiap kartun-kartun tersebut dan kemudiannya membuat penilaian samada kartun tersebut memang bertujuan dan berniat untuk menghina Islam dan Nabi Muhammad atau ianya merupakan satu satira dan kritik dari artis/kartunis/seniman Denmark tentang apa yang mereka persepsikan tentang Islam.

Di salah satu mukasurat di akhbar Jyllands-Posten itu, keduabelas-belas imej kartun itu diatur dan disusun di dalam bentuk lebih kurang empat segi dengan sebuah teks rencana komentari yang bertajuk “Muhammeds ansigt”ditulis ditengah-tengahnya.

Setelah meneliti dan menghalusi setiap satu dari imej-imej 12 kartun tersebut (imej sahaja, tanpa teks) saya berpandangan bahawa hanya satu sahaja dari 12 kartun tersebut yang jelas mempunyai unsur-unsur menghina Nabi Muhammad. Manakala 11 kartun yang lain agak kabur dan tidak dapat kita katakan dengan jelas bahawa ianya menghina Nabi Muhammad. Namun begitu 11 kartun yang lain itu tetap mempunyai unsur-unsur prejudis, stereotaip dan rasis terhadap masyarakat Islam terutamanya terhadap orang-orang Arab.

Lukisan kartun yang saya katakan agak jelas menghina Nabi Muhammad ini (lukisan kartun inilah yang sering dipaparkan untuk menimbulkan kemarahan masyarakat Islam manakala imej 11 kartun yang lain jarang dapat kita lihat) dilukis dengan provokatif. Lukisan kartun tersebut memperlihatkan kepala seorang lelaki keturunan Arab (atau mungkin juga Sikh) dengan mimik wajah yang bengis dan dia memakai serban yang dilukis berbentuk bom.

Jika kita lihat kartun ini, ianya adalah satu kartun satira yang berbentuk sinis yang mengkritik Islam sebagai agama yang menggalakkan terrorisme. Walaupun kartun ini boleh kita katakan sebagai satu kartun stereotaip, prejudis dan rasis terhadap orang Islam tapi kita tidak dapat menafikan bahawa ianya dilakarkan untuk tujuan satira dan kritikan sinis berdasarkan persepsi masyarakat Eropah dan Barat terhadap orang-orang Islam lantaran kejadian-kejadian pengeboman dan keganasan yang banyak berlaku sekarang ini yang sering dikaitkan pula dengan kelompok-kelompok militan Islam.

Untuk saya tiada masalah di dalam hal ini kerana memang kita harus akui bahawa memang di dalam Islam sendiri terdapat kelompok-kelompok militannya yang menggunakan keganasan sebagai salah satu cara perjuangannya. Dan imej kartun yang dilukiskan itu pada pandangan saya boleh merepresentasi sesiapa sahaja – ianya boleh merepresentasi Ahmad Al-Jabari, Abdul Al-Bukhari atau Raja Saud dari Arab Saudi atau sesiapa sahaja lelaki keturunan Arab yang lain dan dengan serban yang dipakainya itu, ia boleh juga merepresentasikan seorang Sikh.

Akan tetapi yang menjadi masalah dan punca kemarahan masyarakat Islam sekarang ini ialah apabila teks (text/perkataan) “ lamalif alif lam ha alif lam lam ha-mim ha mim dal-ra sin wau lam-alif lam lam ha” di dalam bahasa Arab yang membawa makna “Tiada Tuhan Melainkan Allah, Muhammad Rasullullah” ditulis pada serban kartun tersebut. Teks bahasa Arab ini telah memberi nama dan label bahawa lelaki keturunan Arab tersebut ialah Nabi Muhammad. Dan teks “ lamalif alif lam ha alif lam lam ha-mim ha mim dal-ra sin wau lam-alif lam lam ha” memang sejak dari 1,427 tahun dahulu telah diterima oleh seluruh umat Islam sebagai satu simbol suci yang merepresentasikan pegangan keimanan umat Islam bahawa Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah.

Ini membawa makna bahawa jika sekiranya teks “ lamalif alif lam ha alif lam lam ha-mim ha mim dal-ra sin wau lam-alif lam lam ha” tidak diletakkan pada serban kartun ini, imej wajah kartun ini boleh menjadi sesiapa sahaja dari keturunan Arab atau Sikh dan status kartun ini adalah sama seperti kartun-kartun lain yang bersepah-sepah banyaknya yang mengkritik dan mensatirakan orang Arab terutamanya, tanpa membangkitkan kemarahan meluap-luap masyarakat Islam seperti sekarang ini.

Ianya juga memberi makna bahawa kartun tersebut tanpa teks “ lamalif alif lam ha alif lam lam ha-mim ha mim dal-ra sin wau lam-alif lam lam ha” adalah satu kartun yang halal dan tidak akan menimbulkan kemarahan yang meluap-luap seperti sekarang ini kerana lelaki Arab yang serbannya berbentuk bom itu boleh ditafsirkan sebagai sesiapa sahaja dan banyak kartun-kartun seperti itu (seperti kartun Osama, kartun Zarkawi atau kartun-kartun stereotaip figur-figur lelaki Arab yang lain) telah disiarkan di merata tempat tanpa adanya reaksi kemarahan dari masyarakat Islam.

Tetapi sebaik sahaja teks tersebut diletakkan atau dinamakan kepada kartun tersebut, sebarang tafsiran lain tidak mungkin boleh dibuat melainkan satu tafsiran sahaja iaitu: kartun tersebut adalah kartun Nabi Muhammad, iaitu satu figur suci, sempurna, maksum dan tanpa cacat cela bagi masyarakat Islam. Teks “ lamalif alif lam ha alif lam lam ha-mim ha mim dal-ra sin wau lam-alif lam lam ha” tersebutlah yang telah memaknai figur lelaki Arab yang berserban bom itu.

Jadi, bolehlah kita katakan bahawa yang menjadi masalah sebenar di sini ialah bukannya kartun wajah Nabi Muhammad itu (kerana tiada siapa pun yang tahu bagaimana wajah Nabi Muhammad yang sebenarnya) tetapi yang menjadi masalah di sini ialah teks “lamalif alif lam ha alif lam lam ha-mim ha mim dal-ra sin wau lam-alif lam lam ha” yang diletakkan kepada gambar kartun tersebut. Sekali ianya sudah diletakkankan, ianya tidak dapat ditarik balik lagi.

Tidak seperti tulisan, ianya boleh dibetulkan kembali dengan alasan tersalah tulis atau ditafsirkan dari pelbagai perspektif lain, begitu juga dengan gambar atau lukisan tanpa teks ianya juga boleh ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran lain – tetapi apabila sesuatu imej/gambar/lukisan itu dikahwinkan dengan teks untuk memberi makna kepada imej/gambar/lukisan tersebut, ianya tidak boleh ditafsirkan dalam bentuk yang lain kecuali apa yang telah diberikan maknanya oleh teks tersebut.

Imej lelaki Arab yang berwajah bengis dan berserban bom tersebut adalah “Muhammad Rasullullah” dan ianya telah terpahat selama-lamanya dan sekekal-kekalnya di dalam setiap ingatan dan memori pada setiap orang-orang yang telah melihatnya. Dan imej lelaki Arab berserban bom yang dilabelkan dengan teks “Muhammad Rasullullah” itu tidak boleh menjadi orang lain lagi, selama-lamanya.

Di sinilah kekuatan dan juga kekalutan yang telah timbul apabila imej (lelaki Arab memakai serban berbentuk bom) dan teks (“ lamalif alif lam ha alif lam lam ha-mim ha mim dal-ra sin wau lam-alif lam lam ha”) telah dikahwinkan – suatu kekuatan yang tidak boleh dirungkaikan sama sekali sehingga menimbulkan kekalutan pada dunia sekarang ini.

Begitu jugalah dengan 11 kartun-kartun yang lain itu. Jika sebelas kartun yang lain itu berdiri sendiri tanpa disertai dengan teks rencana komentarinya dalam bahasa Denmark yang bertajuk “Muhammeds ansigt” (Wajah-wajah Muhammad), saya yakin tidak ada seorang pun yang sedar atau boleh mengetahui bahawa imej yang hendak digambarkan itu adalah imej Nabi Muhammad.

Berbeza dengan kartun lelaki Arab yang memakai serban bom yang meletakkan teks “ lamalif alif lam ha alif lam lam ha-mim ha mim dal-ra sin wau lam-alif lam lam ha” di serban tersebut, sebelas kartun yang lain ini tidak ada sebarang teks yang diletakkan ke atas imej-imej kartun tersebut untuk menunjukkan bahawa ianya adalah Nabi Muhammad. Walaubagaimana pun rencana komentari yang ditulis di tengah-tengah susunan 12 kartun-kartun tersebut, dengan tajuk “Wajah-wajah Muhammad” itu telah memberi indikasi yang jelas bahawa sebahagian dari wajah-wajah lelaki Arab berserban yang dilukis pada 11 kartun yang lain itu adalah juga Nabi Muhammad.

Walaupun sebenarnya teks rencana komentari itu tiada langsung isinya yang menghina Nabi Muhammad atau pun Islam (setelah membaca terjemahan teks tersebut saya mendapati rencana tersebut bersifat intelektual di mana persoalan tentang self-sensorship, dilemma karyawan dan seniman Denmark yang ingin menggunakan Islam sebagai subjek karya, sekularisma, demokrasi, kebebasan bersuara dan berekspressi, serta pertentangan konsep-konsep moden ini dengan nilai dan budaya masyarakat Islam telah dibahaskan oleh pengarangnya), tetapi dengan tajuk rencana “Wajah-wajah Muhammad” yang disertai pula oleh susunan kartun-kartun yang sebahagiannya menggambarkan wajah lelaki-lelaki Arab dengan serban mereka, sudah tentu tanggapan yang akan lahir dari sesiapa sahaja yang membaca dan melihatnya ialah figur kartun yang dilukis itu adalah Nabi Muhammad. Seperti garam dilumurkan ke luka, lukisan kartun-kartun tersebut pula telah menggambarkan Nabi Muhammad dengan gambaran-gambaran yang sangat negatif.

Sekali lagi kita dapat melihat bagaimana kekuatan yang ada pada jalinan antara teks dan imej menghasilkan tanggapan dan pandangan yang sangat sukar untuk diubah. Sekali imej dan teks terjalin kejap, sokong menyokong antara satu sama lain, usaha-usaha untuk menafsir atau membaca dari sisi-sisi lain takkan boleh dilakukan kerana proses memaknai imej telah sempurna dilakukan dengan kehadiran teks tersebut. Kekuatan yang terhasil dari jalinan antara teks dan imej kartun Nabi Muhammad ini jugalah yang membawa kepada kekalutan yang lahir hasil dari pertembungan nilai dan budaya yang berbeza di peringkat global.

Dari kekalutan yang berlaku sekarang ini juga kita dapat melihat bagaimana arus globalisasi yang dipicu oleh ekonomi dan teknologi komunikasi dan maklumat sekarang ini telah mempertajamkan apa yang saya namakan pertembungan nilai dan budaya di peringkat global. Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat yang di dorong oleh perkembangan ekonomi telah menyebabkan maklumat tentang apa sahaja dapat diakses oleh sesiapa sahaja dari pelbagai lapisan budaya, kaum, agama dan nilai yang berbeza.

Kalau dulu sebelum revolusi teknologi komunikasi dan maklumat ini bermula, kartun yang disiarkan di sebuah akhbar di sebuah negara yang sangat kecil dengan populasi tak sampai 6 juta orang seperti Denmark itu tak mungkin akan dapat diakses oleh orang lain. Dengan adanya teknologi komunikasi seperti internet, email, mobile-fone, media-24jam, satelite dan sebagainya, sebarang maklumat dapat diakses dalam sekelip mata sahaja dan distribusi maklumatnya pula meliputi seluruh pelusuk dunia.

Apa yang dinamakan globalisasi ini (di dorong oleh kekuatan-kekuatan ekonomi dan pasaran) tidak dapat menangani persoalan-persoalan perbezaan nilai dan budaya masyarakat dunia yang pelbagai ini. Oleh kerana pendorong utama kepada globalisasi ini ialah pengembangan ekonomi dan perluasan pasaran, maka hanya soal-soal ekonomi sahajalah yang dapat ia berikan solusi dengan efisyen. Akan tetapi bila persoalan-persoalan nilai dan budaya yang berbeza betembung antara satu sama lain terutamanya sesuatu yang menyentuh soal agama, maka apa yang berlaku bukanlah solusi tetapi sebaliknya suatu kontradiksi yang dipercepatkan penajamannya oleh globalisasi dan teknologi komunikasi serta maklumat.

Di dunia global ini nilai dan budaya Eropah serta Barat yang sekular ditembungkan dengan nilai dan budaya Islam yang tidak-sekular yang mana bagi masyarakat Islam agama adalah bahagian penting di dalam kehidupan dan negara. Di sini terdapat satu perbezaan yang nyata – iaitu apa yang kita (masyarakat Islam) anggap menghina dan tidak boleh seinci pun dikritik mungkin dianggap satira dan sebahagian dari prinsip kebebasan bersuara oleh orang lain (masyarakat Eropah). Perbezaan ini boleh difahami kerana kedua-dua masyarakat ini datang dari dua tradisi yang berbeza. Tradisi masyarakat Islam yang mana kebebasan bersuaranya dikawal dan disempitkan oleh pemerintahnya ditembungkan dengan tradisi masyarakat Eropah yang mana kebebasan bersuaranya diberikan ruang yang sangat luas oleh pemerintahnya.

Bagi negara-negara Eropah dan Barat dengan nilai dan budaya yang berasaskan sekularisma, kartun satira seperti itu bukanlah sesuatu yang bersifat sensitif atau taboo. Bersepah banyaknya kartun atau karikatur yang diterbitkan di Eropah dan Barat yang mensatirakan Nabi Isa (Jesus Christ – yang juga merupakan nabi masyarakat Islam). Bukan sahaja Nabi, mereka satirakan, mereka juga kerap mensatirakan Tuhan itu sendiri.
Di dalam nilai dan budaya yang seperti ini agama, institusi agama atau apa-apa sahaja simbol-simbol agama adalah sesuatu yang bersifat peribadi dan penghayatan terhadapnya juga adalah di dalam ruang peribadi semata-mata. Oleh kerana itu kepercayaan, budaya dan nilai yang terbentuk dari agama tidak punya hak untuk campurtangan di dalam soal-soal kenegaraan.

Sedangkan bagi masyarakat Islam agama dilihat sebagai sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dari negara. Peranan agama meresap masuk dan terpahat kukuh di dalam setiap sendi-sendi masyarakatnya dan juga struktur-struktur kenegaraannya. Agama tidak hanya dilihat sebagai institusi tetapi agama juga dilihat sebagai suatu cara hidup yang sempurna dan pemberi pedoman hidup kepada masyarakat. Majoriti masyarakat Islam masih berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa agama bukan semata-mata peribadi tapi perlu ada tanggungjawab dari negara (pemerintah) untuk memastikan ianya tidak dinodai, diolok-olok dan dipersendakan. Di sinilah pertembungan ini berlaku kerana di negara-negara Islam dan negara-negara yang majoriti penduduknya Islam – budaya dan nilai yang dipegang oleh mereka bukan sahaja berbeza tetapi juga jelas-jelas bertentangan dengan nilai dan budaya yang dipegang oleh masyarakat Eropah dan Barat.

Kerana itu agama dan simbol-simbol agama seperti kitab suci Al-Quran, ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi, Kaabah, Baitul-maqdis, masjid, sembahyang, perkataan “lamalif alif lam ha alif lam lam ha” (Tiada tuhan melainkan Allah), “mim ha mim dal” (Muhammad), “alif lam lam ha” (Allah) dan sebagainya adalah sesuatu yang bersifat suci dan tidak boleh dinodai atau dipersendakan sama sekali.

Pertentangan nilai dan budaya di dalam konteks persoalan agama antara masyarakat Eropah dan Barat dengan masyarakat Islam boleh difahami kerana kedua-dua belah pihak mempunyai tradisi, sejarah dan tamadun yang berbeza. Sejarah perkembangan tamadun masyarakat Eropah moden adalah juga sejarah penentangan terhadap institusi-insitusi agama (Gereja) beserta doktrin-doktrin dan simbol-simbolnya. Eropah dan Barat pada hari ini dibangunkan di atas runtuhan institusi-institusi agama (Gereja) dan raja.

Institusi-institusi agama ini diruntuhkan sendiri oleh rakyatnya melalui pemberontakan-pemberontakan yang berlaku menentang gereja dan raja-rajanya pada kurun ke-19. Pemberontakan menentang gereja ini berlaku kerana gereja telah menjadi suatu institusi yang korup, menindas dan memeras rakyat serta bersekongkol pula dengan raja-rajanya yang zalim dan kejam. Dengan itu institusi agama di Eropah dan Barat beserta dengan simbol-simbolnya telah hilang kredibiliti dan kesuciannya di mata rakyat. Dari sejarah institusi agamanya yang sebegitu rupa, tidak hairanlah jika sekiranya tindakkan-tindakkan mempersenda, memperolok-olok dan mensatirakan agama dan simbol-simbolnya adalah sesuatu yang tidak menimbulkan kemarahan masyarakat Eropah dan Barat kerana institusi-institusi agamanya sudah hilang kredibiliti dan kesuciannya akibat proses sejarah yang telah mereka lalui.

Di sini letak bezanya dengan sejarah perkembangan tamadunan Islam di mana institusi-institusi agamanya tidak mengalami kehilangan kredibiliti dan kepercayaan seteruk institusi-institusi agama di dalam masyarakat Eropah dan Barat. Tidak pernah ada pemberontakan untuk meruntuhkan institusi agama di dalam sejarah tamadun Islam. Pemberontakan rakyat terhadap pemerintah-pemerintah dinasti Islam memang ada tapi tidak pernah sampai ke suatu tahap di mana rakyat menuntut supaya institusi agama diruntuhkan. Malahan institusi agama sering diperlihatkan sebagai suatu institusi yang sentiasa memberi teguran dan kritikan jika sekiranya tindakkan-tindakkan pemerintah dilihat menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Malahan institusi agama kadangkala turut terlibat di dalam pemberontakan menentang pemerintah-pemerintah yang zalim dan kejam.

Di sini, institusi agama Islam beserta dengan simbol-simbolnya harus kita akui masih mempunyai kredibiliti dan kepercayaan yang sangat tinggi di mata masyarakat Islam. Justeru itu kepercayaan dan keyakinan yang diberi oleh masyarakat sendiri terhadap institusi-institusi agama dan simbol-simbolnya ini, menjadikan taraf dan darjatnya mulia dan suci. Lantaran kemulian dan kesucian yang diperolehinya dari masyarakat itu, maka pastilah sebarang penghinaan, persendaan dan satira yang dilemparkan terhadap agama Islam beserta dengan institusi dan simbol-simbolnya, akan ditanggapi dengan perasaan benci dan marah yang meluap-luap.

Pertentangan nilai dan budaya kedua-dua masyarakat ini (Barat dan Islam) bukanlah sesuatu yang mudah untuk diselesaikan kerana bukan sahaja susur-galur sejarah perkembangan tamadun kedua-duanya yang berbeza tetapi juga asas-asas pembinaan kedua-dua masyarakat itu juga saling bertentangan. Kejadian kartun Nabi Muhammad dan reaksi dari kedua-dua belah pihak ini adalah contoh manifestasi dari pertentangan-pertentangan ini.

Dan dari pertentangan nilai dan budaya ini – terdapat satu persoalan penting berhubung dengan soal kedaulatan (sovereignity) sesebuah negara di era globalisasi ini. Kita telah dapat melihat bagaimana globalisasi yang di dorong oleh perkembangan ekonomi dan perluasan pasaran telah mendorong pula perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat yang telah memperbolehkan akses, mempercepatkan dan memperluaskan distribusi maklumat yang telah turut juga menajamkan kontradiksi nilai dan budaya antara masyarakat yang pelbagai di dalam dunia ini. Dari pertentangan ini timbul satu soalan dibenak saya iaitu – apakah makna dan fungsi kedaulatan sesebuah negara di dalam menghadapi pertentangan nilai dan budaya global ini?

Di dalam isu kartun Nabi Muhammad ini, Denmark ialah sebuah negara yang berdaulat dengan asas demokratik, keadilan, kebebasan bersuara dan berekspressi yang sangat kukuh. Ia merupakan antara negara-negara dunia yang tersohor di dalam membangunkan tatacara kehidupan bermasyarakat yang adil, demokratik, melaksanakan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kebebasan media yang sangat terpuji, tahap korupsi yang sangat rendah, transparen, bertanggungjawab dan menyediakan keperluan pendidikan dan kesihatan secara percuma untuk seluruh rakyatnya.

Di dalam laporan Tranparency International 2005, dari 159 negara dunia yang diselidiki, Denmark menduduki tempat ke tiga sebagai negara yang paling rendah korupsinya. Manakala di dalam laporan Reporters Without Border 2005 pula, dari 167 negara yang dikaji, Denmark menduduki tempat pertama sebagai negara yang terbaik di dalam kebebasan media.Pendek kata Denmark adalah antara negara contoh yang terbaik yang telah berjaya membangunkan sebuah tatanan pemerintahan yang adil dan demokratik.

Dari isu kartun Nabi Muhammad ini – adakah kita (rakyat negara-negara Islam) berhak untuk memaksakan budaya dan nilai kita yang berlainan ke atas mereka (rakyat negara Denmark)? Apakah kita (rakyat negara-negara Islam) berhak untuk memaksa kerajaan Denmark menarik balik dasar kebebasan berekspressi dan kebebasan bersuara yang memang merupakan asas penting di dalam pemerintahan negara mereka sejak dahulu lagi? Apakah fungsi dan makna kedaulatan jika sekiranya sesebuah negara itu tidak dapat menentukan halatuju, asas dan dasar negaranya sendiri? Adakah berdaulat sesebuah negara itu jika sekiranya setiap keputusan untuk menentukan halatuju, asas dan dasar negara itu dipengaruhi atau ditentukan oleh negara lain?

Perlulah kita ingat bahawa kartun tentang Nabi Muhammad itu disiarkan di dalam akhbar Denmark dan pengedarannya hanyalah di dalam negara itu sahaja dan bukannya diedarkan ke negara-negara Islam yang lain. Hanya dengan kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat, maka rakyat negara lain dapat mengakses kartun tersebut melalui internet dan juga siaran-siaran media dan satellite.

Soalan-soalan di atas adalah soalan-soalan yang timbul hasil dari pertembungan nilai dan budaya di era globalisasi dan kemajuan teknologi komunikasi serta maklumat sekarang ini. Saya sendiri tidak mempunyai jawapan yang jelas kerana ianya bukanlah soalan yang dapat dijawab dengan mudah. Kerumitan atau kekompleksitian yang terhasil dari pertembungan nilai dan budaya antara pelbagai masyarakat global ini perlu dilihat dari pelbagai sisi dan perspektif. Dan rumusan yang diperolehi perlulah diasaskan kepada penghasilan suatu solusi ke arah sebuah dunia global yang saling hormat-menghormati, faham-memahami, toleran, adil, aman dan sejahtera dengan berpandukan prinsip-prinsip kemanusiaan yang sejagat.

Dan antara prinsip-prinsip kemanusiaan yang sejagat yang saya percaya ialah prinsip kebebasan bersuara (termasuk di dalamnya ialah kebebasan berekspressi, kebebasan berhimpun, kebebasan akhbar dan kebebasan media) di mana setiap manusia wajib diberi hak untuk mengekspressi atau menyuarakan pandangan, pendapat, fikiran atau perasaannya tanpa perlu ada sebarang sekatan atau halangan. Pandangan, pendapat, fikiran atau perasaan itu boleh dinyatakan secara bebas bukan sahaja melalui percakapan tetapi juga melalui demontrasi aman, tulisan, lukisan, kartun, teater, drama, filem, karya-karya seni atau sastera dan pelbagai medium pengucapan ekspressi dan suara yang lain.

Sekatan di sini bukan sahaja sekatan dari negara melalui undang-undang, tetapi juga sekatan sosial melalui masyarakat dan sekatan psikologi (yang lahir dari sekatan negara dan sekatan sosial) dari rasa takut. Buat saya, seseorang manusia itu perlu diberi kebebasan penuh untuk menyuarakan pandangan, fikiran, idea dan perasaannya tanpa perlu adanya sekatan-sekatan di atas. Selagi kebebasan bersuara ini tidak diberi, selagi itulah kita akan menafikan haknya untuk menyuarakan isi-hatinya. Bukan itu sahaja, tanpa adanya kebebasan bersuara, kita juga telah menafikan diri kita sendiri untuk mendengar, memikirkan, menganalisa dan menghalusi sisi-sisi lain dari sesuatu perkara tersebut. Dengan menafikan orang lain dari bersuara dan berekspressi kita akan kerugian perspektif-perspektif, sisi-sisi atau idea-idea lain yang mungkin lebih baik pandangannya.
Perkembangan tamadun manusia dari dahulu sehingga sekarang adalah digerakkan oleh dialektik idea iaitu pertembungan-pertembungan antara idea-idea yang berbeza untuk menghasilkan suatu idea baru yang lebih baik dan maju.

Kerana itu saya berpandangan sekatan (baik sekatan undang-undang mahupun sekatan sosial) terhadap kebebasan bersuara hanya akan merugikan umat manusia sahaja dan membantutkan kemajuan manusia. Idea atau pandangan yang berbeza tidak sepatutnya dilawan dengan sekatan dan pengharaman tetapi ianya patut dilawan kembali dengan pandangan, hujah atau idea yang lebih baik dan menyakinkan – barulah masyarakat akan berkembang menjadi sebuah masyarakat yang lebih cerdik, sihat dan maju.

Di dalam isu kartun Nabi Muhammad ini saya secara peribadi memang tidak bersetuju dengan keduabelas-dua belas kartun tersebut kerana selain dari menghina Nabi Muhammad, kartun-kartun tersebut juga adalah kartun-kartun yang boleh saya kategorikan sebagai kartun yang bersifat stereotaip, prejudis dan rasis khususnya terhadap masyarakat Islam dan orang-orang Arab. Walaupun saya tidak bersetuju dengan kartun-kartun tersebut, tetapi saya tidak pula berpandangan bahawa hak dan kebebasan bersuara dan berekspressi para artis/kartunis/seniman/penulis atau masyarakat itu sendiri juga perlu ditarik balik, disekat atau dihalang. Kebebasan bersuara bukan sahaja memberikan hak untuk mereka berekspressi tetapi juga ianya memberi hak untuk saya menaganalisa, menghalusi seterusnya menyuarakan kritikan saya (jika saya tidak berpuas hati) terhadap ekspressi yang telah mereka lakukan.

Setiap satu dari 12 kartun itu, dihasilkan dari sebuah idea yang wujud di fikiran pelukis-pelukisnya. Kartun-kartun itu tidak wujud dengan sendirinya atau lahir begitu sahaja. Ada proses berfikir dibelakangnya. Proses berfikir inilah yang menghasilkan idea dan idea yang terbentuk ini dipraktikkan melalui pembuatan lukisan yang menghasilkan kartun-kartun tersebut. Di dalam lain perkataan kartun-kartun tersebut adalah suatu manifestasi dari sebuah idea. Justeru itu untuk saya, idea dibelakang kartun itulah yang sebenarnya yang perlu dihalusi untuk mencari solusi.

Dan solusi yang sekarang ini diambil oleh masyarakat Islam melalui tindakan-tindakan rusuhan dan pembakaran bukanlah suatu solusi yang baik. Tindakan-tindakan keganasan seperti itu hanya akan mengesahkan dan memperkukuhkan lagi stereotaip dan prejudis masyarakat Eropah dan Barat terhadap masyarakat Islam. Buat saya, solusi yang terbaik untuk menangani isu kartun Nabi Muhammad ini ialah dengan membina dan membangunkan idea-idea baru yang menolak idea-idea yang menghasilkan kartun-kartun tersebut. Idea kartun-kartun itu dilawan dan dipatahkan dengan idea kita sendiri berserta dengan praktik-praktik yang terhasil dari idea kita itu. Idea dibelakang kartun tersebutlah yang perlu masyarakat Islam buktikan sebagai tidak benar, menghina, streotaip, prejudis dan rasis.

Pembuktian yang kukuh tidak datang melalui rusuhan dan pembakaran tetapi ianya datang melalui penghujahan idea yang rasional dan meyakinkan serta praktik-praktik yang dimanifestasikan dari idea tersebut. Dan pembuktian ini hanya akan dapat kita lakukan jika sekiranya terdapat kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara akan memberi ruang kepada kita (masyarakat Islam) untuk mengartikulasi idea kita kepada seluruh masyarakat awam baik yang Islam mahu pun yang bukan Islam. Dan kebebasan bersuara juga akan membenarkan masyarakat bukan Islam menyampaikan suara dan isi-hati mereka. Dan dari proses ini barulah kita sama-sama boleh belajar untuk saling-mengerti, bertoleransi dan faham-memahami antara satu sama lain.

Hanya kerana wujudnya kebebasan bersuara di negara-negara Eropah inilah, makanya masyarakat Islam di sana (walaupun minoriti) punya ruang untuk mengartikulasi bantahan-bantahan dan pandangan-pandangan mereka mengenai isu ini. Dan dari bantahan dan pandangan masyarakat Islam ini (yang terhasil dari kebebasan bersuara), makanya kebanyakan kerajaan negara-negara Eropah memberi perhatian yang serius serta prihatin terhadap isu ini. Dan kerana wujudnya kebebasan bersuaralah makanya sekarang ini dialog-dialog antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam di Eropah sedang giat dijalankan untuk memahami antara satu sama lain. Malahan sekarang ini Setiausaha Agung Kesatuan Eropah, Javiar Solanas sedang di dalam rangka lawatan ke seluruh negara-negara Islam untuk mengadakan dialog-dialog persefahaman bagi menjambatani jurang yang telah terhasil dari isu kartun Nabi Muhammad ini. Kesediaan Setiausaha Agung Kesatuan Eropah untuk datang mengadakan dialog dengan negara-negara Islam adalah suatu bukti yang jelas bagaimana kebebasan bersuara yang wujud telah menolong di dalam membangunkan persefahaman ke arah tatanan masyarakat dunia yang lebih toleran..

Dialog (pengucapan dalam bentuk oral atau tulisan) yang lahir dari suasana kebebasan bersuara yang sihat pasti akan memberi ruang yang luas dan bebas kepada setiap orang untuk bertukar-tukar pandangan dan mengartikulasi fikiran dan idea masing-masing tanpa perlu risau kemungkinan dirinya dinafikan hak untuk bersuara. Pertukaran pelbagai sisi-sisi pandangan, fikiran dan idea yang dijalankan dengan bebas inilah yang akan memperkayakan ilmu pengetahuan manusia, melahirkan idea-idea baru dan mendorong kepada pemahaman nilai dan budaya global yang pelbagai ini ke arah melahirkan masyarakat yang lebih adil dan toleran.

Jika sekiranya kebebasan bersuara disekat, maka apa yang kita akan perolehi hanyalah satu sisi pandangan yang tertentu semata-mata. Fikiran yang hanya disogokkan dengan satu sisi pandangan sahaja – besar kemungkinan akan menghasilkan ekstremis-ekstremis, samada ekstremis agama ataupun ekstremis kaum. Hanya melalui kebebasan bersuara sahajalah setiap orang dijamin akan mendapat akses terhadap pelbagai pandangan, idea dan hujah yang berbeza. Hanya dengan mendapat pelbagai maklumat, pandangan, idea dan hujah, barulah kita boleh menimbang, menilai dan menghalusi setiap pandangan, idea atau hujah yang berbeza itu untuk kita membuat pilihan yang terbaik dan seterusnya membuat rumusan sendiri yang meyakinkan fikiran rasional kita. Kerana itu kebebasan bersuara adalah asas kepada pembinaan masyarakat yang lebih toleran. Menyekat kebebasan bersuara bukanlah suatu jalan untuk menyelesaikan masalah tetapi sebaliknya akan mengeruhkan lagi masalah tersebut.

Walaubagaimana pun, inilah yang berlaku di negara kita Malaysia sekarang ini di mana isu kartun Nabi Muhammad ini telah digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk terus menyekat kebebasan bersuara. Ini terbukti di dalam kes suratkhabar Sarawak Tribune – tidak cukup dengan perletakkan jawatan editor akhbar tersebut, kerajaan Barisan Nasional telah menggantung pula penerbitan akhbar Sarawak Tribune itu. Penutupan itu bukan sahaja suatu penindasan yang terang-terang terhadap kebebasan bersuara tetapi juga turut menindas lebih 300 orang pekerja-pekerjanya yang hilang mata pencarian dengan serta-merta.

Dari insiden ini jelas menunjukkan bagaimana kerajaan Barisan Nasional menggunakan isu kartun Nabi Muhammad ini untuk melegitimasikan tindakannya untuk mengetatkan lagi sekatan terhadap kebebasan bersuara di negara kita. Alasan bahawa isu agama seperti ini adalah isu “sensitif” dan tidak sesuai dibahaskan secara terbuka di dalam masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan agama ini sering dijadikan alasan oleh pihak kerajaan.
Entah apa lagi perkara-perkara yang akan diklasifikasikan sebagai “sensitif” selepas ini tidaklah kita ketahui. Tapi dari tindakan-tindakan tak munasabah pihak kerajaan Barisan Nasional sejak akhir-akhir ini tidaklah mustahil jika sekiranya “mandi junub” juga akan diklasifikasikan sebagai perkara “sensitif” suatu hari nanti.

Inilah yang menjadi keresahan dan kerisauan saya – kemungkinan selepas ini akan banyak lagi perkara-perkara terutamanya yang berkaitan dengan agama yang akan diklasifikasikan sebagai “sensitif”. Untuk saya, agama bukanlah sesuatu yang maha suci dan bertaraf Tuhan sehingga ianya tidak boleh dikritik. Sebahagian besar doktrin-doktrin agama itu sendiri adalah hasil dari tafsiran manusia (yang tentunya bukan makhluk yang sempurna). Saya juga risau jika kita tidak berbuat apa-apa dan menerima sahaja sekatan terhadap hak kebebasan bersuara di dalam isu kartun Nabi Muhammad ini, perlahan-lahan di masa akan datang mungkin semua perbincangan tentang apa sahaja yang bersangkutan dengan agama akan diklasifikasikan sebagai “sensitif” dan tidak boleh disuarakan lagi oleh kita. Pola-pola ke arah itu (penutupan total terhadap kebebasan bersuara di dalam isu-isu agama yang dianggap sensitif oleh kerajaan Barisan Nasional) semakin jelas kelihatan. Kerana itulah percubaan menulis ini saya lakukan sebagai sebahagian dari respon saya terhadap suasana anti-kebebasan bersuara yang saya lihat semakin mencengkam di negara kita ini.

Saya secara peribadi mendukung penuh kebebasan bersuara dan untuk saya tidak ada perkara yang sensitif yang perlu diharamkan dari disuarakan atau diekspressikan. Hanya dengan kebebasan bersuara kita boleh belajar untuk saling-mengerti, faham-memahami dan hormat menghormati. Kerana itulah saya menjunjung kebebasan bersuara dan berekspressi sepenuh-penuhnya kerana ia memberi ruang untuk saya mendengar, memikir dan menghalusi sisi-sisi lain dari sesuatu perkara itu sebelum saya membentuk pandangan saya sendiri. Dan dengan kebebasan bersuara dan berekspressi jugalah makanya saya tidak dinafikan hak saya untuk menyampaikan pandangan, idea dan fikiran saya tentang sesuatu perkara itu. Justeru itu buat saya tidak ada galang gantinya terhadap kebebasan bersuara ini kerana kebebasan bersuara adalah kunci kepada kelahiran masyarakat yang lebih adil, demokratik dan toleran.

Sebagai rumusan, saya berpandangan bahawa isu kartun Nabi Muhammad ini perlu ditangani dengan kekuatan idea iaitu melalui pengartikulasian (secara verbal, tulisan dan perbuatan) suatu idea yang kukuh, rasional dan meyakinkan yang berupaya untuk mendekonstruk idea-idea yang menghasilkan kartun-kartun ini. Memang isu kartun nabi Muhammad ini ialah suatu isu yang panas dan menyentuh soal kepercayaan dan keyakinan terhadap sesuatu yang dianggap suci, tetapi kesuciannya itu bukanlah suatu penghalang untuk kita mendengar, menghalusi atau menyampaikan sisi-sisi lain dari isu ini. Kekompleksitian isu ini perlu diteliti dari pelbagai sudut dengan fikiran yang kritikal dan analitikal melalui penggalian dan pemahaman terhadap konteks sosial, idea, perkembangan ekonomi serta teknologi yang tak terbendung dan susur galur sejarah, nilai serta budaya yang mengelilingi isu kartun ini. Dan lapisan-lapisan kekompleksitian ini hanya dapat dirungkaikan, difahami dan dicari solusinya jika sekiranya wujud kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara tidak boleh dikorbankan sama-sekali walaupun seinci, jika kita benar-benar jujur dan serius mahu menjambatani jurang antara manusia yang berbeza nilai, budaya, kepercayaan dan agama ini.
___________________________________________________________________

Nota: Tulisan ini hanyalah suatu pandangan yang terhasil dari satu proses berfikir. Pandangan yang terhasil dari tulisan ini bukanlah sesuatu yang mutlak dan muktamad kerana proses berfikir itu sentiasa mengalir tanpa henti. Tulisan ini bersedia untuk dikomen, direspon, diperbetulkan, dikutuk atau dibakulsampahkan. Tulisan ini juga bersedia untuk didakwahkan kembali ke jalan yang benar. Sebarang komen, respon, kutukan dan dakwah boleh diemailkan terus kepada sebilahparangtumpul@yahoo.com